Total Pageviews

Popular Posts

Wednesday, November 17, 2010

SYIRIK

Segala puji bagi Allah , Tuhan sekalian Alam, Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W
MUQADDIMAH
Jika disenaraikan segala larangan dan tegahan Allah terhadap manusia dan orang-orang Islam khususnya , SYIRIK lah larangan yang paling keras sekali. Ini kerana SYIRIK merupakan dosa yang paling besar berbanding dengan dosa-dosa yang lain. Ia juga merupakan penyakit yang paling dahsyat menimpa ke atas manusa . Akibat yang timbul daripada perbuatan dan amalan siyrik sangatlah besar. Syirik yang beraneka jenis mendatangkan akibat yang beraneka jenis pula yang sebahagiannya pula boleh pada akhirnya menuju kepada penafian terhadap kekuasaan Allah. Sesaorang yang terjerumus ke dalamnya bukan sahaja akan menerima balasan yang dahsyat pada hari akhirat tetapi juga akan menerima berbagai-bagai akibat sewaktu masih mendiami bumi Allah di dunia ini lagi. Jika sesaorang itu melakukan Syirik besar, dosanya tidak terampun. Allah berfirman: Maksudnya:
Sesungguhnya Allah tidak mengampun kan dosa syirik dan mengampunkan dosa yang lain dari itu, bagi sesiapa yang dikehendakiNya. ( an-Nisa : 116 )
Akibat yang seterusnya terhadap seorang yang melakukan syirik tidak akan dapat masuk Syurga. Firman Allah : Maksudnya
Sesungguhnya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka Allah haramkan bagi nya Syurga dan tempatnya adalah di Neraka ( al-Maidah : 72 )
Sesaorang yang melakukan syirik kecil, amalan baiknya tidak diterima Allah, kerana syirik kecil boleh membatalkan pahala amalan atau ibadah yang yang dikerjakan. Allah berfirman: Maksudnya
Dan Kami tujukan pembicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari amalan mereka, lalu kami jadikan ia terbang sebagai debu yang berterbangan. ( al-Furqan : 23 )
Ayat di atas menjelaskan bahawa segala amalan baik yang pernah dilakukan oleh sesaorang dengan keadaan syirik ( syirik pada ibadah ) akan menjadi sia-sia dan tidak mendatangkan faedah walau sedikit pun.
PEMBAHAGIAN SYIRIK
Pada dasarnya syirik terbahagi kepada dua jenis, iaitu syirik besar dan syirik kecil. Bagaimana pun ada juga ulama yang membahagikan nya kepada tiga, iaitu syirik besar, syirik kecil dan syirik tersembunyi. Al-Qurtubi membahagikannya kepada tiga peringkat
  1. · Syirik Besar
  2. · Syirik Kecil
  3. ·Syirik Tersembunyi
Di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat yang menerangkan tentang syirik jenis ini. Seperti Firman Allah dalam surah an-Nisa ayat 116 di atas. Kebanyakan ulama tauhid berpendapat bahawa syirik besar ini terbahagi pula kepada empat bahagian iaitu;-
1. Syirik dalam permintaan, pertolongan dan doa
2. Syirik dalam niat dan kehendak
3. Syirik kerana ta'at
4. Syirik dalam kasih sayang.
1. Syirik dalam Permintaan dan Pertolongan dan Doa
Syirik jenis ini sangat jelas sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dalam firmanNya: Maksudnya:
Apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut, umpama ribut taufan atau gelombang besar ) mereka momohon pertolongan kepada Allah dengan tulus ikhlas kepada Nya. Kemudian setelah Allah selamatkan mereka ke darat , mereka melakukan syirik padaNya ( al-Ankabut : 65 )
Mengikut sesetengah ulama, syirik yang dimaksudkan di dalam ayat yang tersebut di atas adalah syirik yang terjadi disebabkan orang yang berkenaan berkata " Kalau tidak kerana Allah dan ketua kita , nescaya kita telah tenggelam" Dalam hal ini kejayaan dan keselamatan yang telah dikurniakan oleh Allah itu dibahagikan kepada dua , iaitu kerana Allah dan kerana ketua mereka.
2. Syirik Dalam Niat dan Kehendak
Syirik jenis ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah di dalam Al-Quran Maksudnya:
Sesiapa yang inginkan kehidupan di dunia dan perhiasannya , Kami berikan keduniaan dan perhiasan itu dengan tidak dikurangkan sedikit pun pada nya. Merekalah orang-orang yang hanya mendapat pembalasan Neraka sahaja di akhirat nanti ( Hud ayat 15-16)
Ayat tersebut di atas menjelaskan tentang keadaan orang-orang musyrik yang beramal semata-mata untuk tujuan dan kehendak keduniaan. Oleh yang demikian maka mereka tidak mendapat habuan di akhirat nanti.
3. Syirik Kerana Taat
Ketaatan itu hanya patut diberikan kepada Allah dan rasulNya sahaja. Malah pada asalnya ketaatan itu khusus hanya kepada Allah. Ketaatan diri kepada makhluk, misalnya kepada pemimpin atau ketua mestilah dalam rangka taat kepada Allah dan dengan syarat ia di dalam perkara yang tidak berlawanan dengan syariat Islam. Sabda Nabi Muhammad S.A.W. Maksudnya " Sesungguhnya taat itu dalam perkara yang ma'aruf "
Sekiranya perkara-perkara yang berhubung dengan ketaatan kepada makhluk itu membawa perkara yang munkar, maka ia tidak boleh ditaati kerana melampaui batas yang dibenarkan. Sabda Nabi Muhammad S.A.W. Maksudnya
" Tidak boleh taat kepada perintah yang boleh membawa kepada maksiat. Sesungguhnya taat itu dalam perkara yang ma'aruf "
Ketaatan yang diberikan kepada makhluk seperti Ibu Bapa, pemimpin dalam perkara yang bertentangan dengan Syarak adalah Syirik, jika dilakukan dengan rela hati dan tiada paksaan. Firman Allah: Maksudnya:
Jika kamu taatkan mereka ( dengan membelakangi perintah Allah ) sesungguhnya kamu adalah orang-orang Musyrik ( al-An'am : 121 )
Ayat tersebut dengan jelas menerangkan jika seseorang itu membelakangkan perintah Allah kerana taat kepada perintah manusia sedangkan ia berlawanan dengan kehendak Allah, maka orang tersebut telah terjerumus ke dalam syirik
4. Syirik Dalam Kasih Sayang
Kasih sayang yang mesti diberikan oleh manusia kepada Allah adalah kasih sayang yang memuncak tinggi. Kasihkan Allah jauh melebihi kasih pada diri, ibu bapa dan segala-galanya . Ini telah dilakukan oleh para Rasul, Nabi dan para sahabat dan orang yang benar-benar beriman. Kasih kepada Allah bererti kasih dan patuh kepada hukum-hakamnya. Sentiasa bersedia berkorban dan berjihad meninggikan syariatnya. Kasih kepada Allah juga brerti mengikut panduan dan ajaran rasulNya . Firman Allah: Maksudnya:
Katakanlah bahawa jika kamu kasihkan Allah, maka hendaklah ikut aku ( Nabi ) nescaya kamu dikasihi Allah"
( al-Imran : 31 )
Abu Bakar al-Jazairi, telah menjelaskan bahawa sesiapa yang kasih bukan kepada Allah dan tanpa keizinannya serta tidak disyarakkan, malah dilarangnya, umpamanya kasihkan sesuatu benda selain Allah , atau kasihkan pemimpin-pemimpin atau keduniaan yang mengakibatkan orang tersebut taat dan patuh kepada kehendak mereka dengan melakukan maksiat atau melanggar larangan Allah dan rasulnya di samping mereka disanjung dan dimuliakan dan dipatuhi, orang tersebut telah melakukan syirik. Allah berfirman: Maksudnya:
Dan setengah manusia ada yang mengambil selain daripada Allah sebagai penyerupaan dengan Allah , mereka kasih kepada nya sebagai mereka kasihkan Allah sedangkan orang-orang beriman itu lebih kasih kepada Allah. ( al-Baqarah : 165 )
Semoga kita dipelihara Allah daripada bahaya Syirik yang sangat dimurkai Allah dan selalulah bermohon doa agar sentiasa diberi taufik dan hidayah untuk selamat dan berbahagia di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbalalamin.

No comments:

Post a Comment