Total Pageviews

Popular Posts

Friday, November 12, 2010

MANUSIA YANG DIKASIHI DAN DIBENCI ALLAH DAN NABI


  

Manusia Yang Dikasihi Dan Dibenci Oleh Nabi s.a.w.

Orang yang berakhlak mulia adalah orang yang paling dikasihi oleh Rasulullah dan diberi tempat yang paling dekat dengan baginda di hari kiamat nanti. Sebaliknya bercakap-cakap kosong atau perkara-perkara yang sia-sia dan membuat fitnah adalah perbuatan yang dilarang oleh agama kerana ia tidak mendatang apa-apa kebaikan bahkan bakal mengundang azab di hari akhirat kelak. Islam juga melarang umatnya bersifat membangga diri dan memandang rendah serta menghina orang lain tetapi hendaklah bersifat tawaduk dan rendah diri demi menjaga hati dan perasaan orang lain.

Rasulullah s.a.w. bersabda, bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang paling aku kasihi di kalangan kamu dan orang yang paling dekat tempat duduknya denganku dihari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya. Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku pada hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap perkara sia-sia, dan berlagak angkuh, sombong malah ia merasa bangga dengan kesombongannya.” Para sahabat bertanya lagi, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui maksud perkataan orang-orang yang suka bercakap banyak yang sia-sia, dan yang berlagak angkuh dan sombong, tetapi apakah maksud orang yang bangga dengan kesombongannya? Jawab Rasulullah: “Orang yang takbur.” H.R. at-Tarmizi

Keras Kepala, Sombong dan Suka Mengumpul Harta Tetapi Tidak Suka Membelanjakannya untuk Kebaikan

Keras kepala (degil) adalah sifat orang yang tidak mahu menerima kebenaran. Begitu juga orang yang tamak pada harta dan tidak suka membelanjakan harta untuk kebaikan kerana sombong, mereka ini tergolong sebagai ahli neraka. Harta merupakan amanah Allah kepada menusia oleh itu ia hendaklah dibelanjakan untuk diri, keluarga dan orang-orang yang di bawah tanggungan serta memberi bantuan kepada orang yang memerlukannya dengan cara yang diredhai oleh Allah. Islam amat melarang umatnya bersifat dengan sifat-sifat yang tercela, seperti sombong, takbur, riak, keras kepala, suka tamak dan sebagainya kerana semua sifat-sifat ini boleh menyeret seseorang itu ke dalam neraka. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Bukankah aku telah memberitahu kamu tentang ahli-ahli neraka? Mereka itu ialah orang-orang yang keras kepala, sombong, suka mengumpul harta tetapi tidak suka membelanjakannya untuk kebaikan.” H.R. Bukhari dan Muslim.

Manusia yang Bersifat Tamak

Manusia secara semulajadinya bersifat tamak dan dengki terhadap kelebihan orang lain. Kedua-dua sifat ini membawa kerugian kerana ia akan melahirkan individu yang tidak bersyukur sehingga hubungan dalam masyarakat menjadi rosak akibat daripada berlakunya pergaduhan dan persengketaan sesama sendiri. Selaku umat Islam kita dituntut untuk sentiasa bersyukur kepada Allah kerana dengan bersyukur hati kita akan tenang dan redo di samping mempercayai bahawa rezeki itu terletak di tangan Tuhan. Kita wajib berusaha sedangkan yang menentukannya adalah Allah s.w.t. Bahkan Allah telah berjanji bahawa rezeki orang yang bersyukur akan ditambah sebaliknya pula bagi orang kufur (tidak bersyukur). Lawan kepada sikap tamak itu adalah bersikap sederhana iaitu menolak keterlaluan di mana kita dituntut agar bersederhana dalam menetapkan sesuatu peraturan, perbelanjaan dan sebagainya tetapi mestilah menyeimbangkannya terutama dalam memenuhi tuntutan keduniaan dan tuntutan akhirat.
Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Sekiranya anak Adam memiliki satu lembah daripada harta, nescaya ia mahu yang kedua dan sekiranya ia mempunyai dua lembah nescaya ia mahu yang ketiga. Tidak akan memenuhi perut anak Adam melainkan tanah dan Allah sentiasa menerima taubat orang yang bertaubat.” H.R. Ahmad

Sekiranya anak Adam memiliki satu lembah daripada harta,
nescaya ia mahu yang kedua.

Orang yang Cinta Kepada Dunia

Islam melarang mengumpul harta terlalu banyak untuk kepentingan diri sendiri. Sebaliknya ia digalakkan membelanjakannya untuk kebajikan semoga mendapat ganjaran daripada Allah s.w.t. Islam tidak melarang umatnya cintakan dunia dan mencari harta kekayaan yang banyak, asalkan harta-harta tersebut didapati dari unsur-unsur yang halal dan dibelanjakan untuk pembangunan ummah. Dan tidak hanya untuk disimpan sahaja. Umat Islam hendaklah sentiasa bersabar didalam menghadapi segala cubaan yang diberikan oleh Allah s.w.t. Serta berusaha untuk mengatasinya dari masa kesemasa. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya sahabat-sahabat kita yang telah lalu telah pun meninggal dunia Allah tidak mengurangi martabat mereka dengan sebab cintanya kepada dunia, dan sesungguhnya kita juga memperolehi harta yang banyak, tidak ada tempat untuk menyimpannya melainkan didalam Tanah. Kalaulah tidak kerana Nabi s.a.w. Telah melarang kita dari berdoa untuk mati, nescaya aku akan berdoa dengannya”. Kemudian kami datang kepada baginda disuatu ketika yang lain, sedang pada masa itu beliau sedang membina dinding, lalu Baginda pun bersabda, “Sesungguhnya seseorang muslim itu akan diberi pahala pada setiap perkara yang dibelanjakannya melainkan pada benda yang disimpannya dalam tanah, kerana melebihi dari keperluan.” H.R. Bukhari dan Muslim

No comments:

Post a Comment